AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

RUMAH MAMPU MILIK UNTUK GOLONGAN BELIA PERTANIAN: AGROBANK BEKERJASAMA DENGAN RISDA UNTUK PRODUK PEMBIAYAAN RUMAH



RUMAH MAMPU MILIK UNTUK GOLONGAN BELIA PERTANIAN: AGROBANK BEKERJASAMA DENGAN RISDA UNTUK PRODUK PEMBIAYAAN RUMAH

KUALA LUMPUR – Memiliki rumah sendiri merupakan antara impian utama golongan belia dalam sektor pertanian.  Dengan keprihatinan Agrobank untuk membantu merealisasikan impian ini, Agrobank dengan kerjasama pihak RISDA akan melancarkan produk pembiayaan perumahan patuh syariah yang sesuai untuk golongan sasaran ini.

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan  Othman, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, produk pembiayaan terbaru ini adalah seiring dengan usaha Agrobank menyediakan pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian terutamanya golongan tidak dan kurang mendapat liputan (unserved and underserved).

Melalui Program Rumah Bina Negara (RBN) dengan kerjasama RISDA,  Agrobank akan menyediakan pembiayaan maksimum sebanyak RM50,000 bagi setiap peserta RISDA yang layak dengan tempoh pembiayaan adalah sehingga 35 tahun atau pelanggan mencapai umur 70 tahun, yang mana lebih awal.

“Program pembiayaan ini adalah satu usaha inovatif terutamanya dalam usaha menangani isu bahawa sebahagian besar komuniti pertanian dan luar bandar tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.  Namun begitu mereka masih mempunyai sumber pendapatan yang konsisten untuk menampung keperluan hidup.

“Justeru itu, untuk pembiayaan ini, sumber pendapatan yang diperolehi melalui aktiviti perniagaan yang diusahakan oleh pemohon akan dinilai secara menyeluruh dan tertakluk kepada pengesahan dari pihak RISDA mengenai maklumat perniagaan dan tempoh penglibatan pemohon tersebut,” demikian ujar Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

Para pelanggan juga dibenarkan untuk memohon pembiayaan secara bersama dengan ahli keluarga terdekat bagi memastikan ansuran bulanan pembiayaan adalah  dalam kemampuan kewangan masing-masing.

“Kami yakin produk pembiayaan ini akan diterima baik terutamanya golongan belia RISDA kerana produk ini membantu mereka memiliki rumah sendiri.  Agrobank, sebagai insitutusi kewangan pembangunan (Development Financial Institution) yang diberi mandat untuk pertanian, sentiasa prihatin dalam mempelbagaikan produk kewangan bagi golongan sasaran seperti golongan belia RISDA untuk memiliki rumah mampu milik,” kata Dato’ Wan Mohd Fadzmi 

“Agrobank sangat berterima kasih kepada pihak RISDA dan juga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) atas kerjasama yang diberikan untuk menghasilkan satu produk yang sangat relevan untuk golongan belia daripada komuniti pertanian,” Dato’ Wan Mohd Fadzmi  berkata demikian kita diminta mengulas kerjasama Agrobank dan RISDA baru-baru ini.

###

Mengenai Agrobank

Agrobank ditubuhkan pada tahun 1969 dengan mandat untuk membangun dan memperkasakan sektor pertanian Negara. Ia adalah sebuah bank milik Kerajaan di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan Diperbadankan. Pembiayaan Bank dalam sektor pertanian adalah didorong oleh dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Sebagai Institut Pembangunan Kewangan (DFI) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor pertanian di Malaysia, Agrobank bertekad untuk mengimbangi peranan dalam aspek pembangunan dan komersil memperkasakan sektor pertanian. Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang komprehensif bagi pertanian; yang merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan dan jualan produk pertanian kepada pengguna

Dengan 47 tahun pengalaman dan rekod baik dalam industri perbankan pertanian, Agrobank secara aktif menyokong pembangunan pertanian negara dengan beroperasi di lapan (8) wilayah melalui 187 cawangan bank, Agrobank menawarkan produk dan perkhidmatan dalam bidang pembiayaan korporat, komersial dan mikro serta pembiayaan perdagangan, pembiayaan peribadi, perbankan elektronik dan deposit & perkhidmatan.

Agrobank secara rasmi bergelar institusi perbankan Islam sepenuhnya pada 1 Julai 2015.

Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat