AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Rakan strategik baru : Agrobank beri pembiayaan berkelompok Cili Fertigasi-i di bawah PPK Kuala Langat



TELOK  PANGLIMA  GARANG  –  Agrobank  hari  ini   mengumumkan  pelaksanaan Pembiayaan Berkelompok Cili Fertigasi-i di bawah kendalian Pertubuhan Peladang Kawasan – Kuala Langat (PPK-Kuala Langat). Penyerahan surat tawaran untuk perjanjian strategik projek berkenaan telah disempurnakan Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank kepada Dato’ Haji Mohd Salim Haji Taha, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang dan disaksikan oleh tetamu kehormat yang lain.

Di   bawah   program   Pembiayaan   Berkelompok   Cili   Fertigasi-i,   Agrobank memberi pembiayaan bagi kos operasi kepada peserta projek tanaman cili fertigasi di bawah seliaan PPK Kuala Langat. Ini merupakan satu lagi kerjasama  strategik  di bawah inisiatif Agrobank dalam usaha untuk membangun dan memberi akses pembiayaan kepada komuniti pertanian.

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Agrobank sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan rakan strategik untuk sama-sama memajukan industri pertanian.“Sebagai sebuah bank yang memahami keperluan komuniti pertanian, Agrobank  menawarkan  pembiayaan  kewangan  komprehensif  untuk   sektor pertanian yang merangkumi aktiviti huluan seperti input bekalan pertanian, kepada aktiviti hiliran seperti memproses dan menjual produk pertanian kepada pengguna.

‘Agrobank menawarkan pembiayaan dari RM 1,000 sehingga RM50,000, tanpa perlu cagaran untuk peserta projek fertigasi cili ini. Terbuka kepada individu berusia 18 tahun sehingga 60 tahun dan perlu berdaftar di bawah projek tanaman cili fertigasi kelolaan PPK Kuala Langat,” jelas Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

Dato’ Wan Mohd Fadzmi memuji kegigihan PPK Kuala Langat untuk membangunkan perusahaan fertigiasi cili terutamanya dari segi menarik minat golongan muda untuk menceburi perniagaan. “Pihak pengurusan PPK Kuala Langat nyata percaya dan yakin yang tanaman cili fertigasi ini mampu jana pendapatan lumayan. Dengan keyakinan ini mereka bersungguh-sungguh memberi pendedahan, latihan dan tunjuk ajar kepada anak muda bagaimana untuk berjaya dalam bidang ini.

Sesungguhnya Agrobank berasa bangga menjadi Rakan Strategik PPK Kuala Langat bagi Projek Fertigasi Cili ini. Ini bukan sahaja contoh yang sangat baik dari  segi semangat kepasukanan ‘teamwork’ malah contoh baik bagaimana menarik golongan muda untuk menyertai sektor pertanian,” kata Dato’ Wan Mohd Fadzmi. Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi, pertanian sangat sinonim dengan makanan. Justeru itu, potensi sektor pertanian sememangnya luas untuk diterokai dan ia seiring dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan tahap sara diri negara sekaligus mengurangkan tahap kebergantungan terhadap makanan import. “Walaupun dalam keadaan suasana ekonomi global yang suram, Agrobank mencatatkan pertumbuhan pembiayaan tertinggi– dengan peningkatan pembiayaan sebanyak 16.4% pada tahun 2016. Ini jelas menunjukkan bahawa prospek dan potensi dalam bidang pertanian sangat besar,” ujar Dato’ Wan Mohd Fadzmi. Majlis penyerahan surat perjanjian telah berlangsung di Teluk Panglima Garang sempena majlis kesyukuran PPK-Kuala Langat yang telah dianugerahkan sebagai PPK terbaik peringkat kebangsaan bulan lalu.

  • English
  • Bahasa