AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

KERJASAMA STRATEGIK AGROBANK – MPB BERI MANFAAT 30,000 PEKEBUN KECIL LADA



KUCHING – Agrobank hari ini memeterai kerjasama strategik dengan Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 30,000 pekebun-pekebun kecil lada di seluruh Malaysia. Majlis berlangsung di Cityone Exhibition Centre sempena Karnival Kewangan Sarawak dan disaksikan oleh 150 orang tetamu.

Kerjasama strategik ini telah ditandatangani oleh Pn. Masaat Awadz yang memangku tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan Dr. Harry Entabang, Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia sambil disaksikan oleh En. Mohamad Taufik Mahamad, Pemangku Ketua Pegawai Transformasi Agrobank dan En. Othman Sajili, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia. Yang Berhormat Haji Datu Nasrun Datu Mansur, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komuniti dan Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank turut bersama-sama menyaksikan tandatangan kerjasama strategik ini.

Kerjasama strategik Agrobank-MPB ini memberi fokus kepada program pembiayaan khas yang akan memberi manfaat kepada lebih 30,000 pekebun-pekebun kecil lada yang berdaftar di bawah MPB. Selain itu, kerjasama ini turut memberi fokus kepada penyediaan fasiliti pembiayaan kepada koperasi MPB dan juga syarikat yang menguruskan perdagangan (trading) serta penyediaan perlindungan takaful untuk MPB yang komprehensif dan nilai berpatutan.

Menurut Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank, sebagai sebuan bank yang memberi fokus kepada pembangunan komuniti pertanian, Agrobank yakin kerjasama dengan MPB akan memberi manfaat terutamanya memperkasakan pekebun-pekebun kecil lada dari segi akses kewangan.
“Agrobank, sebagai bank yang dimandatkan untuk memperkasa industri pertanian negara, percaya gabungan usaha dan kerjasama dengan rakan kongsi strategik seperti MPB penting untuk meningkatkan rangkuman (outreach) pembiayaan bagi komuniti pertanian,” kata Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Menurut Tan Sri Mohamad Zabidi lagi, kerjasama bersama MPB ini merupakan satu inisiatif penting untuk membangunkan dan memperkasakan industri lada di negara ini. “Kerjasama ini membolehkan kedua-dua organisasi untuk fokus kepada teras perniagaan masing- masing; Agrobank kepada pembiayaan dan perkhidmatan kewangan manakala MPB fokus kepada penanaman dan penghasilan lada yang lebih berkualiti.

Menurut YB Datuk Haji Nasrun Datu Mansur Timbalan Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam ucapannya berkata, kerjasama strategik ini merupakan simbol komitmen berterusan kementeriannya melalui agensi dizbawahnya iaitu MPB untuk membantu para pekebun-pekebun kecil lada meningkatkan pendapatan mereka melalui kaedah pembiayaan yang inovatif.

“Kerjasama antara Lembaga Lada Malaysia dan Agrobank ini dapat memberi solusi pembiayaan kepada pengusaha tanaman lada melalui pengurusan modal yang lebih efisien. Ia akan membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada produktiviti dan peningkatan hasil secara sepenuhnya,” ujar Datuk Haji Nasrun.

  • English
  • Bahasa