AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Press Releases

Agrobank Sumbang RM30,000 Ke Rumah Anak-anak Yatim



SHAH ALAM – Agrobank semalam telah menyampaikan sumbangan zakat bernilai RM30,000.00 kepada dua buah rumah anak yatim iaitu Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong dan Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad, Ampang di Program Jalinan Kasih. Ini merupakan antara aktiviti komuniti yang dianjurkan oleh Agrobank setiap tahun.
Penyampaian cek zakat telah disampaikan oleh Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank kepada Ustaz Muhamad Abdullah, wakil dari Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong dan Puan Norlina Alawi, wakil dari Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad, Ampang. Setiap rumah amal menerima sumbangan zakat sebanyak RM15,000 setiap satu dan juga sumbangan 5 buah komputer terpakai.

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi, jumlah keseluruhan zakat perniagaan Agrobank bagi tahun 2014 yang perlu diagihkan adalah sebanyak RM1.37 juta. “Sebagai sebuah entiti perniagaan, Agrobank turut memainkan peranan untuk memakmurkan masyarakat melalui pengagihan zakat. Semakin berkembang dan majunya sesuatu perniagaan, maka jumlah pengagihan zakat juga turut akan bertambah sekaligus membantu lebih ramai lagi umat Islam yang memerlukan melalui pengagihan zakat perniagaan ini. Kita sangat berbangga pada hari ini kerana dapat bersama-sama anak-anak yatim dari Rumah Amal Limpahan Kasih dan Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad dan menyampaikan sumbangan zakat”, tambah beliau.

Menurut beliau, selain menyalurkan zakat secara langsung kepada golongan asnaf seperti anak-anak yatim dan pembinaan masjid, Agrobank turut memberi fokus kepada program-program pendidikan dengan menyalurkan sumbangan zakat untuk aktiviti-aktiviti pendidikan lain bagi golongan asnaf seperti “Super Camp”, “English Master Class” dan Seminar Keusahawanan untuk ibu-ibu tunggal berstatus asnaf.

Program Jalinan Kasih ini diadakan di Restoran Je T’aime, Shah Alam dan dihadiri lebih 120 anak-anak yatim dan tetamu jemputan.

-###-

Download Press Release here

  • English
  • Bahasa