AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank sumbang RM103,000 zakat perniagaan kepada MAIPk



IPOH, PERAK – Agrobank menyampaikan bayaran zakat perniagaan bagi tahun 2017 sebanyak RM103,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada satu majlis penyampaian yang berlangsung pada 27 Disember 2018. Zakat perniagaan tersebut telah disampaikan oleh YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank kepada Sahibus Samahah Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Haji Harussani Haji Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak.  Turut hadir pada majlis tersebut adalah Tuan Syed Alwi Mohamed Sultan, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank; Kamarulzaman Ghazali, Pengarah Wilayah Perak Agrobank dan pihak Pengurusan Kanan Agrobank.

Menurut YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank, sumbangan zakat ini bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan asnaf serta secara tidak langsung dapat mengurangkan kekangan kewangan yang dihadapi mereka.

“Sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab dan menyedari tentang peningkatan kos sara hidup, pihak Agrobank berharap usaha murni ini dapat membantu golongan asnaf terutamanya menjelang tahun baharu dan permulaan sesi persekolahan tidak lama lagi.  Pihak kami berharap ianya dapat membantu para asnaf menyediakan keperluan asas seperti pakaian sekolah, kelengkapan sekolah serta lain-lain barangan keperluan asas,” kata Tan Sri Mohamad Zabidi.

“Zakat mempunyai nilai kemanusiaan yang mendalam. Melalui zakat, ianya dapat mewujudkan perpaduan dan mengukuhkan hubungan di kalangan masyarakat dengan mengagihkan kekayaan kepada golongan miskin dan yang memerlukan. Pembayaran zakat juga membantu memurnikan jiwa dan mendorong seseorang untuk bersyukur atas karniaan Allah S.W.T.,” tambah Tan Sri Mohamad Zabidi.

Selain daripada Agrobank, enam (6) buah agensi lain di bawah Kerajaan Negeri Perak juga turut menyampaikan sumbangan zakat pada majlis yang sama yang berlangsung di Herritage Hotel, Ipoh.

  • English
  • Bahasa