AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Takaful Ikhlas Berhad Dan Agrobank Jalin Kerjasama Strategik Lima Tahun



Kuala Lumpur, 27 Mac 2017 – Takaful Ikhlas Berhad (Takaful IKHLAS), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB) telah memeterai perjanjian persefahaman untuk tempoh 5 tahun dengan Agrobank sebagai Rakan Takaful Pilihan atau Preferred Takaful Partner.

Untuk meraikan kerjasama strategik ini, satu majlis menandatangani perjanjian telah diadakan di antara pihak Takaful IKHLAS yang diwakili Hj. Wan Rosli Shaharuddin Wan Yaacob, Ketua Pegawai Komersial Keluarga dan Encik Jeffry Shah Abdul Wahab, Ketua Pegawai Komersial Am dari Takaful IKHLAS manakala Encik Mad Yusof Yazid, Ketua Pegawai Perkhidmatan dan Tuan Syed Hairul Anuar Syed Fadzil bagi pihak Agrobank. Turut hadir menyaksikan perjanjian ini ialah Datuk Hj. Ab Latiff bin Hj. Abu Bakar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS bersama Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank.

“Kerjasama ini membolehkan kedua-dua pihak menyasarkan unjuran perniagaan yang baik dan menyeluruh. Selain itu, ia juga bagi memenuhi keperluan pelanggan menerusi Takaful Kemalangan Diri, Takaful Gadaijanji (MRTT), Takaful Kredit Berkala Berkumpulan (GCTT), Takaful Keluarga Berkumpulan, Pelan Takaful Keluarga untuk pendidikan, persaraan dan perubatan, Takaful Motor, Takaful Kebakaran, dan lain-lain Takaful Bukan Motor,” kata Datuk Ab Latiff.

“Kerjasama di antara Takaful IKHLAS dan Agrobank ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana ianya telah terjalin sejak lebih 10 tahun lalu. Perjanjian persefahaman pada hari ini adalah untuk tempoh 5 tahun bagi perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am. Ini membuktikan kesediaan dan komitmen antara kedua-dua pihak untuk memperluaskan kerjasama bagi tempoh yang lebih lama. Kami amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan dan dilantik sebagai Rakan Takaful Pilihan (Preferred Takaful Partner),” kata Datuk Ab Latiff lagi.

“Agrobank dan Takaful Ikhlas Berhad berkongsi matlamat yang sama yakni menyediakan perkhidmatan kewangan yang patuh syariah dan komprehensif untuk memberi manfaat kepada pengguna. Atas semangat inilah, kita bersetuju untuk membawa kerjasama ini ke satu tahap yang lebih tinggi – iaitu kolaborasi 5 tahun bagi Takaful Ikhlas sebagai Rakan Takaful Pilihan.

“Kita berazam untuk mengukuhkan sinergi kolaborasi yang ada dengan matlamat utama untuk membangunkan perlindungan takaful khas untuk golongan agro dan juga golongan sasaran yang kurang diliputi iaitu golongan ‘unserved’ dan ‘underserved’,” kata Dato Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif.

Sebagai permulaan kerjasama ini, Takaful IKHLAS dan Agrobank telah melancarkan Agro Nurani iaitu pelan Takaful yang dirangka khusus untuk Orang Kurang Upaya (OKU) pada Januari yang lalu. Produk perlindungan Takaful tersebut merupakan yang pertama seumpanya di negara ini.

Bagi meneruskan kerjasama ini, Takaful IKHLAS dan Agrobank bakal melancarkan pelan takaful pendidikan sekitar pertengahan tahun ini.