AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Program Pensijilan Agrobank–UPM–
41 kakitangan Agrobank terima sijil tamat latihan



KUALA LUMPUR – 41 kakitangan Agrobank menerima sijil tamat latihan kredit pada Majlis Graduasi Program Pensijilan Pertanian Agrobank-UPM (AU-ACP) ke-2 yang berlangsung pada 8 November 2018 di Universiti Putra Malaysia (UPM).  Sijil pengiktirafan tersebut telah disampaikan oleh Y.A.M Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Ibni Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM.

Program ini merupakan salah satu usaha Agrobank untuk meningkatkan pengetahuan kakitangan Agrobank dalam pelbagai cabang bidang pertanian serta inisiatif terkini dalam aktiviti perniagaan berasaskan pertanian. 

Modul yang telah dihasilkan oleh UPM ini mengandungi subjek-subjek yang berkaitan dengan aktiviti pertanian yang memfokuskan segmen agro makanan, komoditi, akuakultur, penternakan, teknologi pertanian dan industri asas tani. Modul ini juga turut menekankan tentang menaiktaraf aplikasi dalam pengurusan tanaman komersial bagi memastikan para peserta mendapat pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan serta kemahiran dalam aktiviti perniagaan berasaskan pertanian.

Menurut YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank, program selama enam (6) bulan ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman kakitangan Agrobank terutamanya dalam menilai cadangan kertas kerja perniagaan yang berasaskan pertanian. Bagi siri ke-2 ini, seramai 41 orang kakitangan Agrobank telah terpilih untuk mengikuti program ini yang bermula pada bulan Mac 2018 sehingga Oktober 2018.  Untuk tahun sebelum ini, seramai 30 peserta telah tamat latihan bagi kursus yang sama.

“Program seumpama ini dapat memantapkan lagi pengetahuan, kemahiran asas dan teknologi terkini di dalam semua aspek aktiviti pertanian serta perdagangan berasaskan pertanian seperti tanaman, akuakultur, penternakan dan juga komoditi kepada para pegawai Agrobank,” tambah Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Menurut beliau lagi, “Program persijilan ini merupakan antara inisiatif Agrobank dalam ‘mencipta nilai merentasi perbankan’ di mana, telah menjadi salah satu iltizam pengurusan di Agrobank untuk melengkapkan para pegawai kami dengan kemahiran yang bukan sahaja terhad di dalam bidang perbankan, malah berpengetahuan di dalam bidang pertanian sekaligus dapat dimanfaatkan dalam tugasan seharian mereka terutamanya di dalam laporan pembentangan permohonan pembiayaan pertanian,  serta pemahaman ketika melakukan lawatan ke tapak projek pertanian”.

Dalam ucaptama, Prof Dr. Ir. Renuganth Varatharajoo, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM menegaskan penting kolaborasi antara pihak universiti dengan pihak swasta. 

“Pihak UPM menyambut baik kolaborasi dengan pihak Agrobank.  Kerjasama seperti ini penting untuk saling melengkapi dan mengaplikasi kekuatan kedua-dua pihak,” kata Prof Dr. Ir. Renuganth Varatharajoo.

Zubaidah Hamad dari cawangan Agrobank Raub, Pahang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang (Keseluruhan).

Majlis graduasi ini telah berlangsung di UPM dan turut dihadiri oleh Profesor Tuan Haji Abdul Shukor Juraimi, Dekan Fakulti Pertanian UPM, Tuan Syed Alwi Mohamed Sultan, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan pihak pengurusan Agrobank.

SENARAI GRADUAN CEMERLANG

  1. Zubaidah Hamad – Anugerah Graduan Terbaik (Keseluruhan)
  2. Emy Ramie Iliaihanie Abd Rani – Anugerah Graduan Terbaik (Tanaman Makanan)
  3. Fazleyani Sarif – Anugerah Graduan Terbaik (Tanaman Komoditi)
  4. Sudarveli A/P Krishnan – Anugerah Graduan Terbaik (Sains Ternakan)

Sharifah Zaharah Syed Redzwan – Anugerah Graduan Terbaik (Akuakultur)