AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Institusi Perbankan Pertama Lafaz Ikrar Bebas Rasuah



MELAKA – Agrobank hari ini meneruskan komitmen ke arah membudayakan integriti dalam organisasi dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Majlis menandatangani ikrar tersebut telah disempurnakan oleh Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank sambil disaksikan oleh Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil, Ketua Timbalan Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Majlis tersebut telah diadakan bersempena Konvensyen Pengurus Agrobank 2017 di Melaka.

Selepas majlis menandatangani, seramai 257 orang pegawai tertinggi Agrobank termasuk Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah Wilayah, Ketua Jabatan dan Pengurus Cawangan dari seluruh Malaysia melafaz ikrar yang diketuai oleh Encik Mad Yusof Yazid, Ketua Pegawai Perkhidmatan Agrobank. Turut hadir di majlis tersebut adalah barisan pengurusan tertinggi Agrobank dan juga pegawai SPRM.

Menurut Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, IBR adalah lanjutan daripada inisiatif Ikrar Integriti Korporat (CIP) yang dilaksanakan September 2014. Inisiatif ini menyaksikan Agrobank menjadi institusi perbankan pertama di Malaysia yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah yang merupakan inisiatif terbaharu dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurut Tan Sri Mohamad Zabidi lagi, ikrar ini membuktikan komitmen jitu Agrobank untuk menggalakkan nilai-nilai integriti dan tadbir urus yang baik ke arah merealisasikan misi dan visi Agrobank. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Agrobank untuk memupuk nilai-nilai murni dalam menjadikan Agrobank sebagai sebuah organisasi berprestasi tinggi; cekap, mesra, bertanggungjawab, amanah dan berintegriti.

“Saya berharap warga kerja Agrobank akan terus meletakkan agenda peningkatan integriti sebagai keutamaan dalam menjalankan tugasan mereka.

Dato’ Shamshun Baharin turut memuji komitmen Agrobank untuk menjadi sebuah organisasi bebas rasuah. Dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Agrobank kerana menjadi bank pertama di Malaysia yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah. Menurut beliau lagi, komitmen Agrobank dalam melaksanakan ‘Ikrar Bebas Rasuah’ ini juga turut membuktikan bahawa usaha membanteras dan memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab eksklusif SPRM semata-mata malah merupakan amanah dan tugas yang perlu dikongsi bersama oleh seluruh lapisan masyarakat.