AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Lancar Perlindungan Takaful Pertama Di Malaysia Untuk Golongan Orang Kurang Upaya (OKU)



KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini melancarkan produk perlindungan takaful khusus buat Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikenali sebagai Agro Nurani. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Yang Berhormat Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bersempena Karnival Kewangan 2017 yang dianjurkan Bank Negara Malaysia.

Agrobank merupakan bank pertama di Malaysia yang memperkenalkan perlindungan Takaful untuk golongan OKU. Skim perlindungan yang ditawarkan untuk OKU berusia 16 hingga 65 tahun ini menawarkan pelbagai manfaat menarik dan menyeluruh termasuk perlindungan kemalangan, kematian akibat kemalangan, kematian akibat penyakit biasa dan juga elaun tunai wad (akibat kemalangan). Lebih istimewa lagi, Agro Nurani juga menawarkan manfaat perbelanjaan pengkebumian.

Menurut YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank, Pengenalan produk Agro Nurani inisiatif terbaharu Agrobank untuk memberi perkhidmatan kepada golongan OKU yang juga seiring dengan mandat yang telah diberikan kerajaan kepada Agrobank iaitu menyediakan kemudahan kewangan kepada golongan yang kurang mendapat liputan, (to serving the unserved and underserved) serta memperluaskan rangkuman kewangan (financial inclusion) untuk golongan istimewa ini.

“Golongan OKU lazimnya kurang mendapat perlindungan insuran/takaful kerana mereka dianggap sebagai golongan yang berisiko tinggi terhadap sesuatu kemalangan. Justeru itu, Agrobank telah memperkenalkan satu produk perlindungan takaful yang khusus dan bersesuaian untuk golongan OKU. Agrobank positif skim ini bakal mendapat sambutan yang baik daripada golongan OKU. Agrobank turut mensasarkan 15,000 pelanggan untuk melanggan produk ini dengan jumlah premium keseluruhan bernilai RM1.2 juta untuk tahun pertama pelancarannya,” kata Tan Sri Mohamad Zabidi.

Sementara itu, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim dalam ucapannya berkata inisiatif Agrobank untuk memperkenalkan skim perlindungan takaful untuk Orang Kurang Upaya merupakan langkah positif yang amat dialu-alukan oleh kementeriannya.

“Pengenalan Agro Nurani ini seiring dengan objektif/sasaran Pelan Tindakan OKU 2016-2022, yang telah termaktub pada Teras Strategik 1, (GOL 3 INCEHON) iaitu meningkatkan aksesibiliti untuk golongan OKU. Ini termasuk untuk meningkatkan akses OKU kepada perkhidmatan perbankan dan insurans. Pelan ini amat penting bagi kami kerana inklusiviti golongan OKU adalah keutamaan kami. Kerjasama dari pelbagai syarikat korporat dan institusi perbankan sangat penting untuk merealisasikan pelan tindakan ini. Jadi, bagi pihak KPWKM saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas buat Agrobank di atas usaha murni ini,” kata Dato’ Seri Rohani.

Pendapat yang sama turut disuarakan Yang Berhormat Dato’ Sri Ahmad Shaberry Cheek, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang beranggapan Pelancaran Agro Nurani merupakan langkah permulaan baik bagi menyediakan perlindungan takaful, khas untuk golongan OKU.

“Usaha Agrobank untuk memperkenalkan produk Agro Nurani merupakan langkah proaktif dan saya mengalu-alukan pemimpin pertubuhan OKU dan NGO berkaitan dengan OKU akan terus memberi sokongan kepada produk ini dan mengalakkan perlindungan yang lebih menyeluruh kepada golongan OKU dan juga ahli keluarga yang tersayang. Semoga golongan OKU dapat memanfaatkan peluang yang ada ini sebaiknya,” kata Dato’ Ahamad Shabery.

Untuk produk Agro Nurani, Agrobank menawarkan tiga (3) jenis pelan dengan harga yang sangat berpatutan serendah RM55 setahun dengan manfaat maksimum bernilai lebih RM42,000.