AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Terus Menyokong MAHA 2016 Dengan Tawaran Hadiah Kereta Pacuan Empat Roda



Putrajaya– Agrobank hari ini menyatakan komitmen dan sokongannya dengan menyertai pameran Malaysian Horticulture and Agriculture (MAHA) 2016 yang akan berlangsung pada 24 November – 4 Disember 2016 di MAEPS, Serdang.

Seperti penyertaan Agrobank di MAHA tahun lalu, kempen-kempen anjuran Agrobank menawarkan hadiah menarik sebagai daya tarikan kepada pengunjung untuk datang ke ruang pameran Agrobank serta memberi peluang kepada pengunjung untuk mengetahui manfaat berkenaan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Agrobank.

Antara kempen menarik yang akan dipromosikan di MAHA 2016 adalah kempen ‘The One Agro’ yang merupakan perlindungan takaful. Kempen ini bakal melibatkan promosi perlindungan takaful seperti Perlindungan Kemalangan diri (Takaful Kasih Plus & Agro Mabrur), Motor Takaful dan penulisan wasiat.

Melalui kempen ini, pelanggan yang melanggan salah satu dari produk-produk berikut berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah dan membawa pulang hadiah utama iaituToyota Hilux.
Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, penglibatan Agrobank di MAHA 2016 kali ini akan diperhebatkan lagi dengan pelbagai tawaran barangan promosi yang menarik untuk pelanggan-pelanggan Agrobank yang melanggan produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh bank. Agrobank akan mengekalkan konsep mini bank di MAHA 2016 yang membolehkan pelanggan berurusan di booth MAHA sebagaimana urusan di bank kami. Di samping itu, Agrobank juga telah merangka lebih banyak aktiviti menarik untuk pelanggan dan pengunjung ke gerai kami dan akan terus menggiatkan usaha promosi memandangkan produk dan perkhidmatan kami mendapat sambutan yang amat menggalakkan ketika di pameran MAHA 2014 yang lalu.

Pada tahun 2014, perkhidmatan Takaful Kasih merupakan produk yang paling mendapat sambutan di kalangan orang kerana insuran perlindungan ini ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan dan mampu milik iaitu RM10.60, RM21.20 dan RM53.00 setahun dan ditahun ini kami akan terus mempromosikan perlindungan takaful ini dengan beberapa faedah tambahan yang akan diumumkan kelak. tambah beliau lagi.

Selain kempen The One Agro, Agrobank juga akan mempromosikan pinjaman mikro untuk usahawan-usahawan kecil serta program Sahabat Agro yang menggalakkan pembukaan akaun Agrobank dengan pelbagai insentif menarik untuk pendeposit.

Selain itu, Agrobank juga turut menawarkan pelbagai produk pembiayaan khusus untuk aktiviti pertanian dan industri asas tani. Pada tahun 2015, Agrobank menguasai 11% pasaran aktiviti pertanian primer dan 24% untuk sektor agromakanan.

Di MAHA 2014 yang lalu, Agrobank telah menawarkan sebuah kereta Honda City 1.6+ sebagai hadiah utama untuk kempen Festival Agrobank 2014 dan pemenangnya merupakan salah seorang pengunjung MAHA 2014.