AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agenda Agro: Agrobank anjur program perkongsian maklumat



KOTA KINABALU, SABAH – Agrobank hari ini meneruskan penganjuran siri bicara bisnes “Agenda Agro: Prospek dan Peluang dalam Sektor Pertanian yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah. Program ini telah dihadiri lebih 100 orang tetamu yang juga merupakan pelanggan Agrobank dan usahawan di sekitar Sabah.

Inisiatif program Agenda Agro ini dilaksanakan adalah untuk berkonsi kepada pelanggan Agrobank dan usahawan menegenai peluang dan maklumat terkini yang ada dalam sektor pertanian dan industri asas tani.  Ianya secara tidak langsung memberi ruang buat para pelanggan yang hadir untuk berinteraksi dan berhubung terus dengan pegawai Agrobank yang berpengalaman bagi mendapatkan penerangan dan maklumat tentang sektor pertanian. 

Selain daripada itu, tetamu yang hadir juga turut didedahkan dengan maklumat tentang polisi dan inisiatif terkini kerajaan yang sekaligus dapat membantu mereka untuk mengembangkan perniagaan dan taraf sosio-ekonomi mereka.

Menurut Tuan Syed Alwi Mohamed Sultan, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Agrobank sentiasa berusaha untuk membantu para usahawan melalui inisiatif sebegini.  Selain pembiayaan komprehensif yang ditawarkan, program perkongsian bisnes seperti ini dapat membantu para pelanggan untuk merangka perancangan strategik terutamanya dalam mengembangkan empayar perniagaan mereka ke pasaran yang lebih besar tambahan pula Sabah sangat sinonim dengan aktiviti penternakan lembu, kambing, penanaman kelapa sawit, sayur-sayuran serta buah-buahan dan aktiviti pertanian lain.

 “Wilayah Sabah merupakan sebuah negeri yang berpotensi besar dalam industri pertanian. Potensi ini dapat dilihat pada prestasi memberangsangkan negeri ini di mana sehingga September 2018, jumlah pembiayaan Agrobank di negeri Sabah adalah sebanyak RM961.66  juta, iaitu peningkatan tahun ke tahun sebanyak 16.64%, di mana ianya adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan yang dicatatkan pada tahun lepas iaitu sebanyak 6.51% untuk tempoh masa yang sama,” tambah beliau lagi.

Pada majlis yang sama, Agrobank turut menyampaikan sijil penghargaan kepada satu (1) AGROAgent (Ejen Perbankan) iaitu kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kalabakan kerana prestasi terbaiknya di wilayah Sabah. Pengiktirafan ini diberikan khusus bagi menghargai usaha dan komitmen AGROAgent ini dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada komuniti pertanian dan juga masyarakat setempat.

Sejak dilancarkan pada tahun 2014, seramai 125 AGROAgent telah dilantik di Wilayah Sabah. Secara keseluruhannya, Agrobank kini mempunyai seramai 876 wakil AGROAgent di seluruh negara.

Sabah merupakan lokasi ketujuh selepas penganjuran di enam (6) lokasi sebelum ini iaitu di Perlis, Pahang, Sarawak, Johor, Perak dan Pulau Pinang.