AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Terima Anugerah Kelestarian Kewangan Karlsruhe 2016 Untuk Pembiayaan Projek Lestari Cemerlang



KARLSRUHE, JERMAN Anugerah Kelestarian Kewangan Karlsruhe 2016 (The Karlsruhe Sustainable Finance Awards) telah menganugerahkan Agrobank untuk Pembiayaan Projek Lestari Cemerlang (Outstanding Sustainable Project Financing) sebagai mengiktiraf kejayaan bank dalam Skim Kredit Padi. Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, President / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank menerima anugerah tersebut bagi pihak Agrobank di satu majlis yang diadakan di Karlsruhe, Jerman.

Skim Pembiayaan Paddy-i yang sebelum ini dikenali sebagai Skim Kredit Padi, merupakan salah satu pembiayaan inovatif Agrobank dalam memenuhi keperluan pesawah yang menjalankan pertanian bermusim dan sesuai untuk penanaman dan penanaman semula sawah padi. Skim ini mula diperkenalkan pada tahun 1970 selepas penubuhan Bank, dan menjadi instrumen penting dalam pembangunan industri penanaman padi secara komersial dan progresif di Malaysia. Skim ini juga merupakan skim pembiayaan pertama yang diperkenalkan khusus bagi memenuhi keperluan pengusaha sawah padi. Sehingga kini, Paddy-i kekal menjadi satu-satunya skim pembiayaan yang dirangka khas untuk manfaat pesawah padi di Malaysia.

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan, Agrobank komited dan memberi fokus utama bagi mewujudkan pembiayaan yang lebih inovatif untuk kumpulan sasaran. Paddy-i adalah pembiayaan yang diperkenalkan khusus bagi memenuhi keperluan golongan pesawah yang mempunyai pendapatan bermusim.

Salah satu faktor utama kejayaan skim ini adalah keupayaan Bank untuk menstruktur pembiayaan modal kerja bagi golongan pesawah. Kebiasaanya, di bawah amalan pembiayaan komersial, pesawah tidak mudah mendapat akses pembiayaan kerana risiko bagi penanaman padi. Aliran tunai untuk membayar balik pembiayaan untuk penanaman padi ini adalah bermusim dan terdedah kepada risiko penurunan harga, cuaca buruk dan bekalan padi yang berlebihan.

Dengan skim ini, pesawah ditawarkan jumlah pembiayaan sehingga RM2,500 sehektar atau nilai maksimum sebanyak RM50,000 bagi memenuhi keperluan pembelian padi, benih, baja, penyediaan tanah dan kos pengeluaran lain yang berkaitan dengan penanaman padi. Skim ini juga menyediakan kadar keuntungan yang rendah iaitu 3.25% tertakluk kepada kadar keuntungan setiap musim tuaian serta tiada cagaran dan penjamin diperlukan untuk pembiayaan ini.

Manfaat dan syarat-syarat untuk mendapatkan pembiayaan ini ternyata membantu pengusaha sawah padi terutamanya dalam meningkatkan pengeluaran padi dan juga pendapatan mereka. Selain itu kadar kutipan pembiayaan juga membanggakan iaitu mencapai kadar sehingga 97% – 100% untuk setiap musim, kata Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

Kejayaan Paddy-i telah membantu Agrobank dalam membuktikan keupayaan Bank untuk menawarkan pembiayaan berstruktur terutamanya kepada komuniti yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan perbankan (underserved & unserved community). Kebanyakan pelanggan Agrobank memohon untuk skim pembiayaan Paddy-i bagi tempoh lima (5) tahun (10 musim tanaman). Nilai pembiayaan yang telah dikeluarkan sepanjang tempoh sepuluh tahun (2006 – 2015) adalah berjumlah RM370.53 juta yang memberi manfaat kepada 84,970 petani di seluruh negara.

Kami yakin skim ini telah berjaya menyumbang kepada peningkatan keselamatan makanan negara dan juga pendapatan pesawah di negara ini yang merupakan pendapatan yang terendah di kalangan komuniti pertanian. Selain itu, skim ini juga berfungsi sebagai pembiayaan untuk kelestarian dan juga demi kedaulatan makanan negara,” jelas Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

Kini, Agrobank telah memperluaskan skop pembiayaan Paddy-i ke kawasan luar bandar berpotensi yang lain seperti di Kota Belud (Sabah), Batang Lupar (Sarawak), Rompin dan Pekan (Pahang).

Anugerah Kelestarian Kewangan Karlsruhe 2016 memberi penghormatan kepada institusi kewangan dan organisasi yang menyumbang kepada kelestarian industri kewangan. Anugerah ini juga turut mengiktiraf pencapaian cemerlang kepada projek pembiayaan jangka panjang industri / komersil atau infrastruktur yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan, serta melindungi alam sekitar dan memastikan pulangan yang boleh memberi keuntungan buat pelabur dan pembiaya.

YB Datuk Othman Aziz, Timbalan Menteri Kewangan 1 dan juga merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengucapkan tahniah kepada Agrobank untuk anugerah yang diterima.

MADA mempunyai hubungan dengan Agrobank sejak 1970. Projek pertama oleh Agrobank adalah melaksanakan projek-projek pengairan untuk menampung penanaman padi dua kali setahun di negeri Kedah dan Perlis, yang juga merupakan kawasan khusus MADA. Pada tahun pertama operasi perniagaan, Agrobank telah memberikan pembiayaan berjumlah USD150,000 kepada 2,724 petani di bawah seliaan MADA.

Agrobank dan MADA sudah lama bekerjasama erat untuk pembangunan dan manfaat pesawah padi. Pihak MADA mengucapkan setinggi tahniah di atas kejayaan Agrobank mendapat pengiktirafan antarabangsa ini. kata YB Datuk Othman.

Agrobank -- Karlsruhe Sustainable Finace Award