AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dinamakan Sebagai ‘CEO Terbaik 2016’ Oleh Anugerah Forum Islamik Global (GIFA) 2016



JAKARTA – Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman telah dianugerahkan sebagai ‘CEO Terbaik 2016’ di Majlis Anugerah Kewangan Islam Global. Majlis anugerah tersebut turut dihadiri oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo dan 450 tetamu lain.

Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada pemimpin yang telah melaksanakan perubahan kepada institusi yang diterajui serta aktif menyumbang kepada pembangunan industri kewangan Islam.

Menurut Dr. Humayon Dar, Pengerusi Jawatankuasa GIFA 2016, Jawatankuasa GIFA sangat kagum dengan kepimpinan Dato’ Wan Mohd Fadzmi terutamanya dalam menjalankan peralihan Agrobank kepada sebuah institusi perbankan Islam moden yang sepenuhnya. “Anugerah CEO Terbaik ini memberi pengiktirafan kepada pemimpin yang telah melaksanakan perubahan kepada institusi yang diterajui. Setiap tahun, GIFA menganugerahkan pemenang yang telah menunjukkan kebolehan untuk merangka visi yang strategik, kesiapsiagaan dalam membuat keputusan bagi membantu institusi untuk berkembang secara mampan serta sifat intergriti yang utuh,” terang Profesor Dar.

“Sejak mengambil alih tugasan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 2011, Dato’ Wan Mohd Fadzmi menjadi daya penggerak utama kepada transformasi Agrobank terutamanya dalam pengukuhan asas Bank dan memberi tumpuan kepada perniagaan teras serta mandat yang jelas dalam usaha membina dan memantapkan sektor pertanian. Beliau juga telah mengambil langkah berani apabila mengumumkan untuk menjadikan Agrobank sebagai sebuah institusi perbankan patuh syariah Islam sepenuhnya dalam tempoh masa tiga (3) tahun. Pada tanggal 1 Julai 2015, Dato’ Wan Mohd Fadzmi telah berjaya menerajui transformasi Agrobank dan menjadi sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya.

Menurut beliau lagi jawatankuasa GIFA turut kagum pencapaian Agrobank dibawah kepimpinan Dato’ Wan Mohd Fadzmi yang telah merekodkan peningkatan prestasi yang ketara; antaranya sedang menyusun semula proses dan prosedur untuk kecekapan yang lebih baik,mengurangkan kadar Pembiayaan Tidak Berbayar (NPL) kepada satu angka, membangunkan produk dan pembiayaan yang lebih inovatif serta relevan kepada komuniti pertanian serta menyumbangkan usaha cemerlang dalam rangkuman kewangan dan inisiatif yang diambil untuk meluaskan akses kepada kewangan.

Profesor Dar turut menekankan, di bawah kepimpinan beliau, Agrobank berada dalam prestasi cemerlang apabila telah mengatasi pembiayaan RM8 bilion pada separuh pertama tahun ini dan dijangka mencapai 10% -12% kadar pertumbuhan menjelang akhir tahun ini walaupun dalam senario ekonomi global yang suram.

Mengulas mengenai anugerah yang dimenanginya, Dato’ Wan Mohd Fadzmi berkata, “Saya amat berbesar hati untuk menerima anugerah berprestij ini. Ini adalah satu pengiktirafan kepada Agrobank dan semua kakitangan yang bekerja keras untuk melaksanakan peralihan untuk menjadikan Agrobank sebagai sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya. Perjalanan untuk merangka peralihan itu sangat mencabar, dimana ia melibatkan perubahan yang besar dan penting dalam termasuklah pemikiran, proses dan membuat semula kesemua dokumen. Walau bagaimanapun, warga kerja Agrobank benar-benar percaya bahawa pertanian, secara semula jadi, sangat bersesuaian dengan kewangan Islam. Oleh itu, kami terus komited dan berusaha lebih gigih dalam merealisasikan peralihan ini. Ia turut menambah keyakinan pelanggan kami dan juga para pelabur mengenai status halal sesuatu produk kerana ia disokong oleh urus niaga perniagaan yang mematuhi Syariah,”

Kami juga amat bersyukur dengan sokongan padu yang diterima dari Bank Negara, Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan juga ahli lembaga pengarah serta pihak-pihak berkepentingan Bank dalam merealisasikan cita-cita kami.” tambah Dato’ Wan Mohd Fadzmi lagi.

Pada majlis yang sama, Agrobank turut menerima satu lagi pengiktirafan untuk kategori ‘Kes Kajian Kewangan Islam Terbaik 2016’. Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal telah mewakili Agrobank untuk menerima anugerah tersebut.

Lebih daripada 450 tetamu dari seluruh dunia telah menghadiri majlis Anugerah GIFA yang berprestij tahun ini. Ini adalah julung kali Anugerah GIFA ini diadakan di Indonesia. Tahun lalu, Bahrain telah menjadi tuan rumah untuk majlis Anugerah GIFA.

GIFA, dianjurkan Edbiz Consulting yang beribupejabat di London sejak 2011, memberi penghormatan kepada bank, institusi kewangan, perundingan, agensi penarafan, broker insurans dan syarikat-syarikat teknologi di atas sumbangan mereka dan pengaruh positif kepada industri perbankan serta kewangan Islam global.

Mengenai GIFA

Global Islamic Finance Awards (GIFA) merupakan yang pertama seumpamanya dan muncul sebagai anugerah yang sangat dihormati di dalam bidang perbankan dan kewangan Islam. GIFA mengiktiraf dan meraikan kejayaan dan sumbangan dari individu dan institusi dalam industri perkhidmatan kewangan Islam.

GIFA menonjolkan amalan terbaik dalam bidang perbankan dan kewangan Islam serta meraikan kejayaan institusi dan individu, dengan tujuan utama untuk mempromosikan tanggungjawab sosial, kesahihan Syariah dan komitmen terhadap bidang kewangan dan perbankan Islam.

Penganjuran Forum Ekonomi Islam Oman (OIEF) yang pertama telah diadakan pada 17 Disember 2011 yang telah dihadiri Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi. GIFA 2012 telah diadakan pada 19 Nov 2012, di Kuala Lumpur dan dihadiri oleh Raja Muda Negeri Perak, Raja Dr Nazrin Shah. GIFA 2013 telah berlangsung pada 26 November 2013 di Dubai bersempena Persidangan Perbankan Runcit Dunia Islam yang kelima (WIRBC).

Anugerah berprestij ini memberi peluang untuk semua pihak bersaing dalam bidang masing-masing dan mempromosikan jenama organisasi mereka menerusi media dan medium komunikasi yang lain.

photo-1

photo-2