AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Buka Pusat Pembiayaan Komersial Di Kampung Raja , Cameron Highlands



CAMERON HIGHLANDS, PAHANG – Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal hari ini telah merasmikan sebuah Pusat Pembiayaan Komersial yang khusus untuk memproses permohonan pembiayaan komersial yang bertempat di Kampung Raja, Cameron Highlands.

Penubuhan cawangan ini merupakan yang pertama kali diwujudkan oleh Agrobank sebagai salah satu daripada perancangan strategik Bank untuk memberi perkhidmatan kewangan di kawasan itu yang terdapat banyak aktiviti pertanian. Dengan adanya pusat ini, pelanggan sedia ada serta bakal pelanggan Agrobank yang terdiri daripada usahawan kecil dan sederhana dapat memperoleh maklumat serta membuat permohonan pembiayaan dengan lebih mudah kerana operasi pusat ini bertumpu kepada memproses pembiayaan komersial.

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, aktiviti pertanian yang pelbagai serta wujudnya peluang perniagaan dan keusahawanan di kawasan ini mendorong Agrobank untuk memenuhi keperluan pengusaha pertanian terutamanya di kawasan Kampung Raja, Simpang Pulai serta Lojing selain kawasan Cameron Highland sendiri. “Dengan wujudnya pusat pembiayaan Komersial ini, tumpuan perniagaan kami adalah kepada pengusahan-pengusaha industri kecil sederhana di kawasan ini yang memerlukan kemudahan pembiayaan komersial melebihi RM200 ribu sehingga RM10 juta bagi mengukuhkan perniagaan berasaskan pertanian.

Memandangkan aktiviti ekonomi utama di sini ialah pertanian dan perladangan, maka kewujudan Agrobank di sini amatlah relevan dan menepati keperluan pasaran memandangkan terdapat seramai 2,400 petani berdaftar terutamanya di kawasan Cameron ini sahaja”, tambah beliau lagi.

Menurut Pengerusi Agrobank di dalam ucapannya, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Agrobank akan sentiasa menyokong mana-mana perniagaan yang berdaya maju bagi memastikan pengeluaran Negara meningkat dan menjamin ‘food security’ selain memberi penekanan dan fokus kepada penggunaan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran.

“Dalam usaha untuk melaksanakan perniagaan berasaskan petanian secara komersial, teknologi penting dalam mengurangkan tenaga kerja kasar, mengurangkan kos perniagaan dan melipatgandakan input pertanian. Maka, usahawan perlu menukar cara pemikiran sara diri kepada pemikiran komersial dan berasaskan eksport”, tambah beliau lagi.

Selain memproses permohonan khusus untuk pembiayaan komersial, pusat ini juga mempunyai kemudahan perbankan lain iaitu mesin elektronik ATM dan CDM untuk pelanggan di sekitarnya.
Agrobank juga mempunyai sebuah lagi cawangan di Tanah Rata di Cameron Highlands yang akan menumpukan operasi kepada pemprosesan pembiayaan komersial kurang dari RM200 ribu dan kemudahan mikro serta perkhidmatan perbankan yang lain.

Melalui pusat pembiayaan komersial yang baharu ini, pihak Agrobank mensasarkan peningkatan syer pasaran dari 16% kepada 30% dalam jangka masa dua tahun dari penubuhannya iaitu sebanyak RM111.2 juta pada tahun ini kepada RM148 juta pada tahun 2017.

Selain dari menyediakan kemudahan pembiayaan, Agrobank juga memberi perkhidmatan tambahan kepada pelanggan-pelanggan dengan memberikan khidmat nasihat, bimbingan dan pembangunan perniagaan kepada mereka melalui pelaksanaan program-program pembangunan keusahawanan dalam bidang pertanian selaras dengan agenda Kerajaan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang merujuk kepada Dasar Agromakanan Negara (2011-2020).

dsc_8268-2