AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Melancarkan Produk Dan Perkhidmatan Terbaharu Pembiayaan Perdagangan (Trade Finance)



Nilai, Negeri Sembilan– YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaacob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini melancarkan produk dan perkhidmatan terbaharu Pembiayaan Perdagangan Agrobank (Trade Finance) di mana ianya kemudahan yang berasaskan Syariah bagi memudahkan aktiviti perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pelanggan komersial dan korporat dengan pembiayaan modal kerja jangka pendek untuk aktiviti perniagaan mereka yang meliputi kedua-dua transaksi perdagangan tempatan dan luar negara. Dengan kemudahan baru ini, Agrobank menjadi Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) yang pertama di Malaysia yang mempunyai perkhidmatan pembiayaan perdagangan sendiri.

Pelancaran ini diadakan bersempena dengan Seminar Konsultasi Ekonomi dan Pengurusan Teknologi Pertanian 2014 dianjurkan bersama oleh Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Agrobank dan Universiti Putra Malaysia (UPM), yang diadakan di Nilai Springs Resort. Seminar yang berlangsung selama dua hari ini bermula pada 19 Ogos 2014 dengan penyertaan seramai lebih dari 200 peserta. Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Yang Hormat Dato’ Wan Fadzmi Wan Othman, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan YBhg Dato’ Dr. Shariff Haron, Pengarah Urusan MARDI.

Di antara produk-produk Trade Finance yang ditawarkan adalah Letter of Credit-i (LC-i), Murabahah Trust Receipt (MTR), Trade Working Capital Financing-i (TWCF-i), Bank Guarantee-i (BG-i), Shipping Guarantee-i (SG-i) dan Forward Exchange Contract (FEC). Kemudahan terbaharu ini ditawarkan oleh Agrobank bagi membantu pelanggan-pelanggan menguruskan aliran tunai dengan lebih cekap supaya mereka lebih fokus dalam perniagaan.

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, perniagaan memerlukan modal kerja yang lebih besar untuk mempertingkatkan lagi pertambahan perniagaan tempatan dan luar negara termasuk urus niaga rentas sempadan (cross border transaction). Oleh itu, produk dan perkhidmatan pembiayaan perdagangan ini boleh menjadi perkhidmatan yang sangat berguna sebagai sumber aliran tunai yang mudah.

Penggunaan pembiayaan perdagangan secara teratur boleh membantu menguatkan daya saing usahawan dengan kemampuan untuk membantu meningkatkan kecairan dan aliran tunai di samping mengurangkan risiko. Kami berharap agar para usahawan di dalam industri asas tani mengambil peluang menggunakan perkhidmatan pembiayaan perdagangan terbaharu ini supaya dapat membantu mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran global. Kami mahu melihat lebih banyak syarikat-syarikat di Malaysia menembusi pasaran antarabangsa sekali gus menjadi penyumbang dan pengeksport utama di dunia bagi produk berasaskan pertanian, jelas Dato’ Wan Fadzmi selanjutnya.

Sejak pelancarannya pada 17 Julai 2013, kemudahan pembiayaan perdagangan oleh Agrobank telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan. Sehingga bulan Jun 2014, Agrobank telah meluluskan lebih RM468.8 juta dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM224.52 juta kepada pelbagai sektor dalam bidang pertanian.

Pengenalan kemudahan terbaharu dari Agrobank ini menekankan lagi aspirasi Bank untuk menjadi rakan kongsi perniagaan yang lebih menjurus kepada sektor pertanian dan industri asas tani di negara ini. Pada tahun 2013, Agrobank menyumbang 10.2% (RM3.6 bilion) daripada keseluruhan RM31.7 bilion pembiayaan pertanian di Malaysia. Di samping itu, Agrobank turut menyumbang 31.7% (RM2.4 bilion) kepada pembiayaan sektor makanan daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM5.2 bilion (68.3%) pada tahun yang sama. Maklum balas positif yang diterima sepanjang pelancaran menunjukkan ianya adalah keyakinan para pelanggan terhadap perkhidmatan ini walaupun Agrobank masih baharu dalam pembiayaan perdagangan. Dengan kemudahan ini, Agrobank berhasrat untuk menjadi rakan kongsi perniagaan yang terulung dalam sektor industri asas tani.