AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Lancarkan Kad Bisness Visa Debit-i Malaysia Yang Pertama



Kuala Lumpur- Agrobank hari ni melancarkan KAD AGRO VISA DEBIT-i untuk peruncit dan usahawan milikan tunggal yang membolehkan pelanggan mengakses simpanan mereka di Agrobank secara elektronik melalui rangkaian Visa tempatan dan antarabangsa. Dengan pelancaran kad ini, Agrobank merupakan bank pertama di Malaysia dan Asia Pasifik yang memperkenalkan produk kad debit untuk usahawan berlandaskan prinsip Shariah.

KAD AGRO VISA DEBIT-i dilancarkan secara rasmi oleh Y.B. Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MoA), ketika Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya. Turut hadir di pelancaran tersebut ialah En. Ng Kong Boon, Pengurus Visa International (Malaysia), Tan Sri Faizah Mohd Tahir, Pengerusi Agrobank dan Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank. Lebih daripada 600 tetamu menghadiri acara tersebut.

Dalam ucapannya, Y.B. Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob memuji Agrobank atas usaha dan inisiatif berterusan untuk meningkatkan dan memperbaiki produk dan perkhidmatan kepada pelanggan. “Kad debit ini mempunyai banyak faedah kerana ia tidak memerlukan bukti pendapatan dan tiada caj dikenakan untuk pembayaran lewat. Oleh itu, kad ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat, terutama yang terlibat dalam industri pertanian serta langkah untuk menggalakkan penggunaan kad debit akan menyokong inisiatif kerajaan untuk mempromosikan gaya hidup tanpa tunai menjelang 2020 kerana pembayaran transaksi elektronik adalah lebih efisien, mudah dan selamat berbanding membawa wang tunai yang banyak,” katanya lagi.

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Agrobank berbangga dapat bekerjasama dengan VISA sebagai pembekal rangkaian kad global. “Dengan pengenalan Kad Agro Visa Debit-i, Agrobank berhasrat untuk mewujudkan khidmat nilai tambahan untuk mempertingkatkan tawaran produk dalam memenuhi permintaan dan keperluan segmen pelanggan perusahaan kecil dan sederhana yang bertambah untuk kemudahan dan servis pembayaran yang lebih selamat”.

“Pemegang akaun sedia ada yang mahu menukar kad ATM mereka kepada Kad Agro Visa Debit-i yang baharu boleh menukarkannya dengan percuma, tanpa sebarang caj penggantian kad. Agrobank komited dalam memperkenalkan produk inovatif baharu yang bersesuaian dengan warga tempatan untuk kekal berdaya saing, sejajar dengan perubahan industri kad pembayaran oleh Bank Negara Malaysia yang bakal mengubah sistem pembayaran negara dalam menyokong usaha menuju ke arah komuniti tanpa tunai,” tambah Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

“VISA berpuas hati kerana dapat berganding dengan Agrobank untuk melancarkan kad Perniagaan Visa Debit Islamik yang pertama di rantau ini. KAD AGRO VISA DEBIT-i untuk perniagaan akan memberi manfaat kepada pemegang kad yang sering menanggung perbelanjaan perniagaan kerana ia mengurangkan kesulitan membawa wang tunai dan penjimatan masa dalam penyelarasan perbelanjaan. Ia juga menyediakan fungsi e-Dagang untuk kemudahan pembelian atas talian,” kata En. Ng Kong Boon, Pengurus Visa International (Malaysia).

Kad ini juga boleh digunakan untuk transaksi di lebih 30 juta rangkaian VISA seluruh dunia, sama ada pembelian langsung atau atas talian. Ia juga boleh digunakan untuk pengeluarkan wang tunai di 2 juta mesin ATM di seluruh dunia. Dalam sebulan selepas memperkenalkan kad ini, Agrobank telah mengeluarkan hampir 20,000 KAD AGRO VISA DEBIT-i dan menyasarkan untuk mencapai satu juta pemegang kad debit dalam masa tiga tahun pertama.

Kad ini menawarkan pengguna dengan risiko yang lebih rendah berbanding dengan membawa wang tunai. Kad ini juga ditambah dengan ciri-ciri keselamatan yang telah ditetapkan oleh bank dan mengikut piawaian antarabangsa. Permohonan untuk KAD AGRO VISA DEBIT- i boleh dilakukan di mana-mana cawangan Agrobank seluruh negara yang terdekat, atau untuk makluman lanjut boleh hubungi 1300-88-2476 (AGRO). 

 

Tentang Agrobank

Angrobank adalah bank terkemuka di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kewangan holistik dan kemudahan perbankan, dengan memberi tumpuan kepada pertanian. Ia adalah sebuah Bank milik kerajaan di bawah bidang kuasa Perbadanan Kementerian Kewangan (MFI). Antara produk dan perkhidmatan Agrobank dalam bidang perbankan pengguna, perbankan perniagaan, perbankan elektronik dan perkhidmatan termasuk deposit Hartani-I, AgroCash-I, MAEF-I dan Ar Rahnu. Bank kini wujud di sembilan wilayah di seluruh Malaysia dengan 190 cawangan.

 

Tentang VISA

Visa merupakan syarikat teknologi pembayaran global yang menghubungkan pengguna, perniagaan, institusi kewangan dan kerajaan di lebih 200 negara dan wilayah kepada pembayaran elektronik yang selamat, cepat dan boleh dipercayai. Kami mengendalikan salah satu rangkaian pemprosesan yang paling maju di dunia – VisaNet – yang mampu mengendalikan lebih daripada 47,000 pesanan transaksi sesaat, dengan perlindungan daripada pemalsuan untuk pengguna dan pembayaran terjamin untuk perniagaan. Visa bukan sebuah bank dan tidak mengeluarkan kad, memberi pinjaman atau menetapkan kadar dan fi untuk pengguna. Inovasi Visa membolehkan pelanggannya yang terdiri daripada institusi kewangan menawarkan plilihan yang lebih banyak lagi kepada pengguna: bayar produk sekarang dengan debit, bayar dahulu dengan prabayar atau bayar kemudian dengan kredit. Untuk maklumat lanjut, layari usa.visa.com/about-visa. Visacorporate.tumblr.com dan @VisaNews.