AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank mengumumkan pelantikan CFO dan CHRO



KUALA LUMPUR – Agrobank, sebuah bank perbankan Islam milik kerajaan dengan mandat membangunkan sektor pertanian mengumumkan pelantikan Kamarul Azman Kamarozaman @ Amir sebagai Ketua Pegawai Kewangan Agrobank (CFO) dan Mohamed Parrish Ersalle Abdul Hameed, sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia Agrobank (CHRO) yang baharu.  Kedua-dua mereka akan menjadi sebahagian daripada pihak pengurusan kanan Agrobank di bawah naungan Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank (P/CEO), Syed Alwi Mohamed Sultan.

Kamarul Azman adalah Akauntan Berkanun Bertauliah dengan lebih dari 20 tahun pengalaman bekerja di pelbagai bidang kewangan, perakaunan, perbendaharaan kewangan, kawalan dalaman dan fungsi kewangan korporat yang lain. Kamarul Azman memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Perakaunan dari University of Portsmouth, United Kingdom dan ahli ACCA (Association of Chartered Certified Accountant).

Sebelum menyertai Agrobank, beliau memegang beberapa jawatan kanan seperti Pengarah, Ketua Kewangan & Operasi Pelaburan di CIMB-Principal Asset Management Berhad, Kawalan Kewangan UK di Skrill Limited iaitu sebuah syarikat digital e-Wallet dan pelbagai lagi tugasan serta pengalaman di PwC UK, KPMG Europe, Pejabat EY KL dan CIMB Bank London.  Setelah kembali ke Malaysia, Kamarul menyertai Agrobank pada 5 Jun 2017 sebagai Timbalan CFO dan dilantik sebagai CFO, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Mohamed Parrish Ersalle mula berkhidmat di Agrobank pada 17 Disember 2018 sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia.

Beliau merupakan pengamal sumber manusia yang berpengalaman dengan lebih dari 27 tahun pengalaman dalam bidang kepimpinan, pembangunan warga kerja, pembangunan organisasi, pengurusan prestasi, hubungan perindustrian dan pekerja daripada pelbagai industri seperti industri pembuatan, perkhidmatan kewangan, pegangan pelaburan dan pengurusan harta.

Mohamed Parrish Ersalle memegang Ijazah Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa.

Syed Alwi Mohamed Sultan, P/CEO Agrobank berkata, “Kami dengan berbesar hati mengalu-alukan Kamarul Azman dan Mohamed Parrish Ersalle di Agrobank. Kami yakin bahawa pengalaman kolektif dan kualiti profesional yang dimiliki mereka akan mengukuhkan kedudukan Bank.  Agrobank komited dengan usaha kami kearah sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP) berasaskan nilai Islam yang mampan berteraskan kehendak pasaran dan memberi fokus kepada khidmat pelanggan dan pembangunan kakitangan.”

“Agrobank bakal meraikan ulang tahun ke-50 pada tahun ini.  Justeru itu, Agrobank telah bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya di pasaran dengan mencapai prestasi kewangan yang cemerlang selain menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi dan menyokong usaha dan strategi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA)”.